Langkau ke kandungan utama

SISI GELAP KEMUDAHAN INTERNET – METRO ONLINE – 17/7/2017

Seorang rakan lama saya sering ditertawakan rakan lain setiap kali kami berkumpul kerana keengganannya menggunakan kemudahan Internet untuk kebanyakan urusan seperti pembayaran bil atau khidmat belian dalam talian.

Dia lebih selesa menggunakan kaedah konvensional serta sanggup beratur bagi membuat pembayaran di kaunter atau membeli sendiri di premis perniagaan walaupun terpaksa bertarung dengan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, sekarang barulah kami sedar tindakannya itu berasas selepas melihat jumlah kes penipuan perniagaan dalam talian yang semakin parah hari ini.

Daftar e-mel baru menggunakan identiti palsu, masukkan sebarang nombor telefon dan iklankan ‘barang’ untuk dijual dalam talian.

Pengiklan hanya perlu menunggu panggilan atau mesej dan selepas mendapat pesanan dan bayaran dibuat, pengiklan lesap dan barang lain yang dipesan tapi lain yang dihantar, malah bagi kes yang lebih teruk pembeli langsung tidak menerima apa-apa kiriman.

Ini kaedah penipuan paling asas bagi transaksi perniagaan dalam talian. Ia cara paling senang untuk buat duit dan walaupun acap kali dilaporkan media, masih ramai yang diperbodohkan penyangak siber ini.

Buktinya sejak tahun lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 30,000 aduan berhubung penipuan perniagaan menggunakan platform portal dalam talian.

Pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya boleh mempamerkan iklan sesuatu produk atau barangan tanpa perlu menyertakan bersama nombor pendaftaran syarikat atau sebagainya.

Persatuan Penjual Kereta Kuala Lumpur dan Selangor turut memaklumkan kes penipuan membabitkan jualan kereta terpakai dan sambung bayar hutang kenderaan juga mencatat peningkatan setiap tahun.

Malah, ada juga pihak yang menghasilkan iklan menggunakan gambar dari syarikat lain, kemudiannya mengambil deposit daripada pembeli.

Mereka menggunakan pelbagai taktik dan bayangkan jika seorang ditipu sekurang-kurangnya RM5,000 setiap transaksi, berapa banyak wang yang telah diterima oleh pihak berkenaan.

Saya melihat urus niaga dalam talian masih terdapat banyak kelompangan yang perlu diberi perhatian.

Memang diakui ia banyak memudahkan hidup tanpa perlu bergerak atau membuang masa pergi ke luar kerana semuanya berada di hujung jari kita.

Bagaimanapun, semakin mudah urusan harian kita, semakin mudah jugalah kita menjadi mangsa kepada kemudahan itu sendiri.

Pihak berkuasa perlu lebih serius dalam membanteras penipuan bentuk baru ini.

Memang ada banyak undang-undang untuk melindungi sistem ini tetapi sejauh mana ia membantu jika melihat kepada peningkatan angka kes yang tinggi.

Sebagai contoh, pengendali portal itu sepatutnya meminta individu atau syarikat mengemukakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi hak pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika ini belum mewajibkan pentadbir laman web menyemak nombor kad pengenalan penjual sebelum memberi kebenaran mengiklan barang untuk dijual menerusi platform atau tapak pasar dalam talian mereka.

Agensi itu hanya mewajibkan pentadbir laman web untuk menyimpan dan menyelenggara maklumat nama, alamat dan nombor telefon penjual bagi tempoh dua tahun seperti ditetapkan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) khabarnya sudah menyekat 1,990 laman web yang didapati menipu pelanggan sejak Januari 2016 hingga Jun lalu.

Bagaimanapun, yang tidak sedapnya ialah banyak lagi syarikat dan peniaga yang jujur di luar sana menggunakan platform dalam talian untuk berniaga.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pemasaran ini semakin pudar dan boleh menjejaskan periuk nasi orang lain.



https://www.hmetro.com.my/minda/3-pagi/2017/07/245035/sisi-gelap-kemudahan-internet

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kad Kemanusiaan (Tiada Permit, Overstay,Visa)

Terlalu banyak laporan mengenai Pekerja Asing & Majikan yang menghadapi masalah dokumestasi seperti visa, permit kerja, tinggal lebih masa (over stay) dan lain-lain.  Akibat daripada itu, mereka sering ditahan oleh pihak berkuasa dan turut didakwa hingga ke mahkamah selain ada juga pihak dengan sewenangnya mengambil kesempatan sama ada ejen, majikan atau pihak berkuasa dengan mnganiaya mereka. Kesan negatif terhadap sektor perniagaan juga semakin merosot akibat kekurangan pekerja yang mana kebanyakannya adalah pekerja asing. Majikan juga menerima kesannya yang mana akan didakwa dan disenarai hitam.  Bagi mengatasi masalah ini, MHO dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah menyediakan khidmat penasihat undang-undang kepada warga asing dan majikan yang terlibat dengan masalah ini, MHO mempunyai lebih 25 orang peguam yang terlibat dalam program ini di seluruh Malaysia. Bagi majikan atau pekerja yang berminat memohon kad ini, bolehlah h...

BERITAHARIANONLINE – 11 DISEMBER 2017 - Masjid Wilayah Persekutuan 'masjid angkat' Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Masjid Wilayah Persekutuan hari ini diumumkan sebagai 'masjid angkat' kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengumuman itu sebagai tanda solidariti kepada Masjid Al-Aqsa yang kini berdepan ancaman berikutan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. "Keputusan menjadikan Masjid Wilayah Persekutuan sebagai 'masjid angkat' kepada Masjid Al-Aqsa juga dipersetujui dan amat dihargai oleh pihak masjid berkenaan menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada MyAqsa," katanya ketika berucap merasmikan Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini. Surat berkenaan dikirimkan Imam Besar Masjid Al Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Saed Sabri kepada kepada Yayasan MyAQSA, pada 9 Disember lalu. Jamil Khir berkata, segala aktiviti berkaitan Masjid Al-Aqsa yang dianjurkan d...

“DERA” 7 JAM – HARIAN METRO – 23/6/2017

Dikurung lebih tujuh jam, tidak diberi makan dan minum serta diherdik kerana duit yang diminta belum sampai. Itu yang berlaku kepada eksekutif swasta yang mahu dikenali sebagai Wani selepas dijadikan ‘tebusan’ oleh ceti haram untuk mendapatkan bayaran tuntutan pinjaman. Kejadian berlaku Ahad lalu ketika dia ditahan seorang lelaki di sebuah kawasan di Pandan Jaya yang memintanya berjumpa along berkaitan pembayaran pinjaman yang dibuatnya empat bulan lalu. “Saya kena tahan di Pandan Jaya, dia datang dengan cara elok. Katanya saya kena ikut dia ke pejabat sebab majikannya nak jumpa. “Sampai di Jalan Imbi, saya dibawa ke satu ruang pejabat, dikurung tanpa diberikan makanan dan dimakihamun. “Along itu meminta saya membayar wang yang diminta,” katanya ketika membuat aduan kepada pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Ali Salimin. Wani berkata, dia meminjam RM5,000 daripada along berkenaan selepas mengalami masalah kewangan dan membayar ...